Setajam-tajam pisau, masih lebih tajamnya lidah

Setajam-tajam pisau, masih lebih tajam lidah. Kata-kata yang bisa itu lebih menyakitkan dari apa jua senjata tajam sekalipun. Ibaratnya, luka luaran kita masih boleh sembuh tapi luka di hati sangat sukar untuk disembuhkan. Walaupun hanya anggota yang kecil dari tubuh kita, namun ia dapat membesarkan sekecil-kecil perkara.. Lidah boleh juga diumpama seperti api, sekecil-kecil api itu ianya dapat menghancurkan apa yang terbakar begitu juga ibaratnya lidah yang dapat menodai keseluruhan kehidupan seseorang. Jika haiwan mampu kita jinakkan namun tidak pada lidah kerana ianya tak terkuasai dan penuh racun yang mematikan.

Kadang aku terfikir, kenapa manusia sering menyatakan apa yang dirasanya tanpa mengambilkira perasan dan penerimaan orang lain. Orang yang mendengarkannya. Tidakkah terfikir akan sakit, luka dan tanggungan yang akan dialami oleh hati orang lain sekiranya apa yang dituturkan oleh lidah itu sesuatu yang sangat melukakan dan menyentak tangkai rasa hati..Walau apa jua alasannya, kata-kata yang tajam bukanlah jalan penyelesaian pada apa jua sekalipun. Ya, lidah tidak bertulang. Namun itukah alasannya apa yang dituturkan tidak perlu ditapis, tidak perlu dipertimbangkan kesan dan akibatnya? Kerana mulut santan binasa, kerana lidah juga badan bisa binasa. Itu yang diumpamakan. Kerana lidah, akan wujudkan dendam di hati yang menerima bisanya. Hati.. Bukankah sukar menjaga hati, inikan pula bila hati itu disajikan dengan kata-kata nista, kata-kata pedas. Ya, berkata-kata memang mudah. Namun jika ia dituturkan setajam pisau, sengaja mahu menyakitkan, sengaja mahu melukakan, tidakkah ianya bisa mengundang padah? Padah pada hati yang menerima dan pastinya padah pada lidah yang menuturkan.

Betapa banyak kehidupan manusia yang hancur kerana pedasnya kata-kata lidah. Perkahwinan, persahabatan, percintaan, kekeluargaan bisa berakhir di tengah jalan atau retak utuh hubungan hanya kerana lidah kecil yang berbicara. Suami memaki isteri, kekasih mencerca kekasih, sahabat mencaci sahabat, saudara menghina saudara dan pelbagai lagi fenomena yang bisa tercetus akibat tajamnya lidah kecil itu. Sekecil-kecil masalah bisa tercetus jadi besar kiranya lidah berbicara tanpa batasnya. Kenapa tidak diakhiri sahaja dengan bertoleransi, mengalah, bersabar dan mendengar? Lebih teruk kiranya hati yang terluka kerana lidah itu menunggu kesempatan serupa juga untuk menyerang balas. Juga dengan kelancangan lidah. Tidakkah itu bisa meruntuhkan apa juga yang utuh terbina. Ya, pasangan, suami, isteri, adik, abang, sahabat, saudara atau sesiapa sahaja boleh jadi salah tapi bukanlah cara yang bijak untuk menghentam dengan kata-kata.

Dari apa juga sudut pandangan, aku tetap berpegang bahawasanya pertuturan lidah boleh dikawal dengan kesedaran dan kewarasan. Aku menulis tentang lidah, tentang bicara lidah yang boleh mematikan hati, menguburkan rasa. Untuk apa? Sebenarnya lebih kepada menyedarkan aku sendiri agar sentiasa ingat kita perlu berfikir sebelum berkata-kata. Biarlah jika hati kita ditusuk tajamnya bisa lidah, namun membalasnya jangan sekali. Aku percaya juga biarlah hati kita menangis membuang rasa sakit asalkan kita tidak menyimpan dendam pada apa yang diterima. Jadi jangan simpan tangis itu. Kita mungkin akan jadi lebih tabah, lebih kuat menahan apa jua yang datang. Akhir sekali aku juga percaya kemaafan itu adalah dendam yang terindah...

Ramai yang telah tertewas oleh tusukan mata pedang, tetapi belum seramai yang gugur kerana lidah. Awas lidah, bicaramu mungkin bukan pada tempatnya!

p/s: Hmm bicara tajuk ini atas permintaan seorang teman yang juga seorang penulis yang hebat. Apa yang mahu dilihatnya ya? Aku harap teman itu bukanlah yang selalu luka hatinya kerana lidah.. :)

0 comments: