Din Beramboi Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Penyampai radio Era dan pelawak terkenal, Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43, atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi meninggal dunia di Hospital Selayang (HS) di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas menghidap demam denggi berdarah sejak Isnin lalu.

Adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, berkata mesin sokongan hayat yang dipasang sejak beliau tidak sedarkan diri dihentikan atas nasihat doktor berikutan kegagalan organ dalaman terutama buah pinggang dan hatinya berfungsi.
“Atas permintaan keluarga, doktor masih mengekalkan mesin sokongan hayat sehinggalah ia dihentikan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di sini.

Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sejak Isnin lalu selepas menghidap demam denggi berdarah dan keadaannya dilaporkan kritikal serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menerima rawatan.

Ketika dimasukkan ICU Allahyarham menggunakan sepenuhnya alat bantuan pernafasan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga cahaya mata perempuan termasuk anak sulungnya, Nil Aina Adibah, 18.

Jenazah dijangka dibawa ke kediamannya di Taman Ehsan, Kepong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ihsan Kepong sebelum solat Jumaat. Allahyarham berasal dari Sungai Besi dis ini, dan mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelawak dan pelakon terkenal itu menerima rawatan di HS akibat demam denggi berdarah, bukannya jangkitan virus air kencing tikus seperti yang didakwa pelbagai pihak....


Sumber : Berita Harian




Dari Dia kita datang, dan padaNya juga kita kembali... Al-Fatihah untuk arwah Din Beramboi seorang lagi insan seni yang telah pergi dulu menghadap Ilahi... Jenakanya bersahaja, ideanya spontan yang pastinya membuatkan kita tak kering gusi... Pemergiaannya pasti satu kehilangan besar kepada industri hiburan tanah air... Takziah untuk keluarga beliau..



Semoga roh mu dicucuri rahmat...





1 comments: